SUNGAI PETANI – Pemandu Perodua Alza dikatakan mengalami minor strok sebelum hilang kawalan lalu merempuh pelanggan sebuah kedai makan di Taman Bersatu, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 9 pagi, Perodua Alza itu dipandu wanita warga emas berusia 68 tahun.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu mengalami minor strok yang menyebabkan hilang kawalan dan terbabas di simpang tiga Jalan Taman Bersatu memasuki kedai makan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, kenderaan tersebut seterusnya melanggar seorang pelanggan wanita berusia 55 tahun yang sedang makan dan minum di meja.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan luka di kepala, muka, lengan serta kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan tersebut dilaporkan mengalami kesakitan pada dada dan kaki,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan seorang jurujual barangan farmasi, Han Chin Ting, 55, maut akibat dirempuh sebuah kenderaan ketika sedang bersarapan di sebuah kedai makan di Taman Bersatu, di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE