PUTRAJAYA – Malaysia dan Maldives terus mengukuhkan jalinan kerjasama dalam bidang sukan, kesihatan dan pelancongan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) menerusi bidang sukan, kesihatan dan pelancongan.
Dalam konteks ini, menerusi MoU bidang sukan dimeterai antara Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Luar Maldives, Dr. Abdulla Khaleel, kedua-dua negara akan mengukuhkan kerjasama berasaskan elemen timbal balik.
Menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, MoU bidang sukan itu usaha menggalakkan penyertaan dalam acara sukan, pertukaran maklumat melalui seminar, pembangunan kemudahan sukan, pertukaran atlet dan jurulatih.
Katanya, ia turut melibatkan kerjasama dalam bidang anti-doping, perubatan sukan selain mempromosikan sukan untuk semua.
“Sementara itu, bagi MoU bidang kesihatan pula, kedua-dua negara turut memperbaharui kerjasama itu yang telah tamat pada 2023.
“MoU itu menyokong kerjasama berterusan dalam bidang seperti pembangunan sumber, pertukaran pengetahuan, teknologi perubatan, farmaseutikal, perubatan tradisional, teknologi maklumat kesihatan, keselamatan makanan, dan pelancongan kesihatan.
“Ia mencerminkan komitmen kedua-dua negara terhadap penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi, berasaskan piawaian serta selaras dengan kemajuan teknologi,” katanya hari ini.
Pemeterian MoU bidang kesihatan disaksikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Abdulla Khaleel.
Sementara itu, Malaysia dan Maldives turut memeterai MoU dalam kerjasama pelancongan yang merangkumi rangka kerja komprehensif dalam beberapa bidang utama.
Antaranya termasuk promosi dan pemasaran bersama destinasi pelancongan, pertukaran kepakaran selain pembinaan kapasiti melalui program latihan dan pembangunan tawaran pelancongan mesra Muslim.
Menurut Wisma Putra, kedua-dua negara turut menyaksikan Pertukaran Nota Mengenai Penubuhan Rundingan Dua Hala yang disaksikan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin bersama Pesuruhjaya Tinggi Maldives ke Malaysia, Dr. Mariyam Shabeena Ahmed.
“Rundingan itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang-bidang utama seperti hubungan politik, ekonomi dan sosial selain memudahkan perbincangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa.
“Selain itu, kedua-dua negara turut menyaksikan Pertukaran Nota Mengenai Latihan Diplomat yang akan dilaksanakan melalui Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Malaysia serta Institut Perkhidmatan Luar Maldives,” katanya.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuhkan pembangunan profesional dan pembinaan kapasiti diplomat dari kedua-dua negara melalui satu rangka kerja yang berasaskan pemahaman bersama. – KOSMO! ONLINE