fbpx

Hospital Picaso lancar pusat kanser, tawar penjagaan kanser bersepadu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HOSPITAL Picaso melancarkan pusat kanser yang menawarkan penjagaan pesakit kanseer yang lebih efektif.

PETALING JAYA – Dalam membantu negara menangani isu berkaitan masalah kanser, Hospital Picaso mengambil langkah melancarkan Pusat Kanser Hospital Picaso yang menawarkan penjagaan pesakit kanser yang lebih efektif di bawah satu bumbung.

Pelancaran pusat kanser itu tepat pada masanya memandangkan situasi kanser di negara dalam keadaan kritikal dan kekal sebagai penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia.

Berdasarkan statistik dari 2017 hingga 2021 sebanyak 65.1 peratus kes kanser dikesan berada pada peringkat akhir.

Statistik yang membimbangkan ini memerlukan keperluan yang mendesak bukan sahaja terhadap pengesanan awal, tetapi pendekatan rawatan yang lebih menyeluruh daripada peringkat diagnosis hingga pemulihan diperlukan.

Pusat kanser tersebut mengintegrasikan saringan awal, diagnostik, rawatan lanjutan dan penjagaan sokongan yang bertumpu di satu pusat.

Ia diyakini dapat memupuk kerjasama rapat di kalangan pakar-pakar yang terlibat dalam bidang masing-masing. 

Malah ia juga bakal mempercepatkan proses membuat keputusan, mengurangkan kelewatan rawatan dan memastikan pengalaman pesakit yang lebih berkesan, selain dapat meningkatkan standard penjagaan pesakit kanser di Malaysia.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal Hospital Picaso, Dr. Mastura Md Yusof berkata, pelancaran Pusat Kanser Hospital Picaso bukan sekadar sebuah fasiliti yang baharu. 

DR. MASTURA (tiga dari kanan) bersama pakar-pakar lain membincangkan tentang penjagaan kanser di Hospital Picaso.

Menurutnya, pusat kanser itu mampu mengintegrasikan proses rawatan secara menyeluruh bermula dari saringan sehingga pembedahan dibawah satu pusat.

“Malah pasukan kami telah mentakrifkan semula proses rawatan kanser melalui pendekatan secara komprehensif. 

“Ini mencerminkan komitmen kami terhadap pembedahan lanjutan dan penjagaan peribadi untuk setiap pesakit,” katanya.

Hospital Picaso menerajui usaha dalam memperjuangkan pendekatan bersepadu terhadap penjagaan kanser, sejajar dengan komitmen mereka terhadap prinsip ‘Advanced Surgery, Personalised Care’. 

Pusat ini menghimpunkan semua perkhidmatan penting di bawah satu bumbung yang merangkumi saringan awal, pengimejan diagnostik, rundingan pakar, pembedahan berteknologi tinggi serta rawatan susulan.

Melalui pendekatan bersepadu ini, para pesakit akan memperoleh manfaat menerusi proses membuat keputusan yang lebih pantas, perkongsian maklumat klinikal yang menyeluruh serta proses rawatan yang lebih lancar, sekaligus memberikan pengalaman rawatan yang lebih baik dan hasil penjagaan kesihatan yang lebih memberangsangkan.

Dr. Mastura berkata, selain menyediakan rawatan perubatan yang berkesan dan lancar, mereka mementingkan penjagaan peribadi di mana pesakit dilayan mengikut keperluan tersendiri, diberikan kebebasan dalam membuat keputusan dan mendapat penjagaan yang prihatin sepanjang proses pemulihan. 

“Inilah fokus pasukan pakar perubatan di Hospital Picaso kerana kami bukan sekadar merawat penyakit kanser, tetapi turut menjaga dan memberi perhatian menyeluruh kepada kesejahteraan pesakit. 

“Apabila pakar-pakar yang terlibat bekerjasama bermula dari proses rawatan awal, diagnosis hingga ke perancangan rawatan, ia membantu pasukan perubatan kami membuat keputusan dengan lebih tepat, mempercepatkan proses intervensi dan seterusnya memberikan hasil rawatan yang mantap untuk pesakit,” jelasnya.

HOSPITAL Picaso mempunyai kemudahan yang lengkap untuk penjagaan kanser.

Dalam pada itu, penubuhan pusat kanser itu amat penting berikutan jumlah pesakit kanser di kalangan orang muda pada tahap yang membimbangkan.

Mengulas akan hal tersebut, Dr. Mastura berkata, ketika ini saringan untuk mengesan kanser lebih efektif dan ramai orang muda yang mempunyai kesedaran untuk tampil melakukan saringan kesihatan lebih awal.

“Oleh sebab itu kita dapat kesan lebih banyak kes-kes kanser apabila lebih ramai yang tampil untuk melakukan saringan kesihatan.

“Selain itu, gaya hidup masyarakat ketika ini yang kurang bersenam, tidak menjaga pemakanan dan berat badan, serta merokok juga menyumbang kepada masalah kanser,” terangnya.

Tambahnya, faktor genetik juga turut menyumbang kepada masalah kanser.

Malah di Hospital Picaso mempunyai bahagian genetik kaunselor dan saudara mara terdekat pesakit yang mempunyai kanser akan digalakkan untuk melakukan ujian genetik.

Melalui ujian ini kanser dapat dikesan dengan lebih awal dan langkah untuk menangani masalah itu boleh diambil dengan segera.

Dalam pada itu, radiologi memainkan peranan penting dalam pengesanan dan diagnosis kanser.

Pakar Perunding Radiologi dan Radiologi Intervensi Hospital Picaso, Dr. Basri Johan Jeet Abdullah berkata, pengesanan awal kanser dan pemantauan berterusan dapat dilakukan melalui radiologi.

Menurutnya, bidang tersebut membantu kita untuk melihat sesuatu yang ada di dalam badan yang tidak dapat dilihat melalui mata kasar.

“Pelbagai jenis kanser ini boleh dikesan awal melalui radiologi dan kita boleh menggunakan beberapa teknik seperti mammogram, ultrasound, MRI dan lain-lain lagi.

UNIT radioterapi memainkan peranan penting dalam penjagaan kanser.

“Sebelum kanser ini belum boleh dikesan atau menunjukkan sebarang simptom, kita boleh mengesannya melalui kaedah radiologi ini,” terangnya.

Sebagai contoh, kanser payu dara boleh dikesan dengan lebih awal melalui ujian mammogram.

Jika kanser ini dapat dikesan pada peringkat awal kemungkinan untuk ia merebak juga masih kurang.

Oleh demikian, tindakan segera boleh diambil bagi mengurangkan penyebarannya.

Dr. Basri Johan berkata, bidang radiologi ini bukan hanya penting untuk pengesanan awal kanser sahaja.

Malah, ia juga penting untuk pelbagai bidang dalam rawatan kanser.

“Tugas saya adalah untuk memberikan gambaran keseluruhan tentang kanser ini bagi membolehkan pakar di bahagian lain memberikan rawatan yang paling sesuai dan tepat.

“Oleh itu, di dalam rawatan kanser kerjasama antara satu sama lain daripada pelbagai bidang disiplin amat diperlukan bagi mendapatkan hasil yang terbaik,” ulasnya.

Sementara itu, ada juga kes di mana pesakit dikesan berhadapan dengan kanser pada tahap yang agak serius.

Untuk itu, penjagaan paliatif sangat penting untuk pesakit kanser.

Pakar Perunding Am dan Penjagaan Paliatif Hospital Picaso, Dr. Ummi Affah Mahamad berkata, penjagaan paliatif perlu untuk seorang pesakit yang didiagnosis dengan masalah yang sukar untuk sembuh.

“Sepanjang kehidupan pesakit dengan masalah kesihatan tersebut pasti juga akan ada kesan dari sudut psikologi, emosi, sosial dan lain-lain lagi dan itu wajar untuk diberikan perhatian dan penjagaan paliatif turut membantu dari sudut tersebut,” katanya.

PENJAGAAN paliatif penting bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser.

Malah, berdasarkan kajian yang dilakukan melalui penjagaan paliatif ia membantu memanjangkan usia pesakit.

Melalui penjagaan paliatif ia membantu menambah kualiti hidup pesakit sekaligus mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih lama.

Mengulas lanjut, Dr. Ummi Affah menjelaskan, untuk masalah kanser kebiasaannya pesakit dapat mengesannya agak lewat.

“Ada pesakit yang dikesan berhadapan dengan kanser sudah berada pada tahap empat.

“Untuk kanser di tahap empat ini, ia tidak akan boleh sembuh, tetapi melalui penjagaan paliatif dengan mengawal simptom-simptom ia akan menambah kualiti hidup pesakit untuk meneruskan hidup,” jelasnya.

Tambahnya, keluarga juga mempunyai peranan penting dalam penjagaan paliatif ini dan mereka perlu diajar bagaimana cara untuk menjaga pesakit yang berada pada penghujung usia. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI