SERDANG – Peningkatan harga santan yang ketika ini mencecah sehingga RM22 sekilogram dijangka kembali stabil bulan hadapan.
Ini kerana kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, pihaknya telah mengambil langkah mengimport bekalan kelapa daripada Indonesia dan beberapa buah negara lain.
Jelasnya, kenaikan harga santan sekarang juga disebabkan oleh keperluan yang meningkat ketika musim perayaan serta banyak majlis rumah terbuka dilangsungkan ketika ini.
“Santan memang harganya masih tinggi kerana perayaan sekarang ini masih berjalan, ‘open house’ masih berjalan, contohnya seperti (majlis aidilfitri) hari ini. Mungkin ada beratus tempat lagi di seluruh Malaysia.
“Bagaimanapun, kita yakin bulan depan barangkali (santan) akan stabil. Kita juga mengambil langkah mengimport tambahan lagi (bekalan kelapa) daripada Indonesia dan beberapa (kawasan) lain, Insya-Allah bulan depan stabil,”katanya.
Beliau berkata demikian Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada bekalan lembu mencukupi semasa musim perayaan Aidiladha nanti, Mohamad berkata, bekalan itu dijamin mencukupi.
Malah katanya, ketika ini harga lembu juga agak rendah di beberapa negeri ketika ini termasuk di Pantai Timur.
“Kita harap harga tersebut tidak naik mendadak untuk musim perayaan nanti (Aidiladha),”ujarnya.-KOSMO! ONLINE