GEORGE TOWN – Bekalan air di semua kawasan terlibat dengan Gangguan Air Berjadual (SWSI) di Pulau Pinang berjaya dipulihkan sebanyak 99 peratus sehingga pukul 10 pagi tadi.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan, bekalan air telah kembali pulih kepada kira-kira 337,000 daripada 341,708 pengguna yang terjejas.
”PBAPP sedang berusaha memulihkan bekalan air secepat mungkin di beberapa kawasan hujung paip agihan (End of Line – EoL) dan tanah tinggi di daerah Barat Daya,” katanya di sini hari ini.
Menurut PBAPP, pengguna di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan serta Timur Laut yang masih mengalami gangguan bekalan diminta menghubungi Pusat Panggilan 24 jam PBAPP di talian 04-2558255 atau 04-5096509.
Gangguan air itu bermula pada 10 malam Jumaat lalu membabitkan keseluruhan 341,708 akaun pengguna di lima daerah di negeri ini susulan pelaksanaan 23 projek penambahbaikan perkhidmatan bekalan air di kawasan perkhidmatan Loji Rawatan Air Sungai Dua yang menelan kos RM25 juta.
Sebanyak 465,000 pengguna mendapat manfaat daripada projek berkenaan. -KOSMO! ONLINE