fbpx

450 kes hilang pendengaran akibat pekerjaan di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIVANESAN (dua dari kanan) mendengar penerangan tentang kelengkapan pekerja yang dipamerkan semasa majlis sambutan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Ipoh, hari ini. - Foto FADZIL ZAINOL/KOSMO!

IPOH – Masalah hilang pendengaran akibat pekerjaan merupakan kes terbanyak yang dilaporkan di negeri ini sepanjang tahun lalu sebanyak 450 kes.

Jumlah itu menyumbang sebahagian besar daripada statistik berkaitan penyakit dan keracunan pekerjaan berjumlah 458 kes yang dilaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, masalah hilang pendengaran itu kebanyakannya melibatkan sektor pembuatan dan pengilangan.

Beliau khuatir kes tersebut akan terus melonjak ekoran penambahan ribuan tenaga buruh untuk pelbagai projek pembangunan mega yang sedang dilaksanakan di Perak.

“Para pekerja dan majikan harus memberi keutamaan dalam hal ini. Kebanyakan perjanjian bersama (CA) antara pekerja dan majikan kurang menumpukan berkenaan isu ini.

“Selalunya isu gaji sahaja diutamakan. Betul, gaji penting. Tetapi soal keselamatan dan kesihatan di tempat kerja juga penting,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Negeri Perak 2025 di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI