KOTA BHARU – Kerajaan perlu berbincang dengan Amerika Syarikat (AS) berkaitan soal tarif timbal balas yang bakal diperkenalkan ke seluruh negara termasuk Malaysia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, seluruh negara-negara di dunia ini terkesan dengan pelaksanaan itu.
“Isu tarif ini menyebabkan semua negara dunia akan terkesan. Kita Malaysia kena 10 peratus campur 24 peratus, Vietnam pula kena 10 peratus campur 56 peratus. Macam-macam negara, macam-macam peratusan.
“Bagi tarif 24 peratus, kita tidak akan kena apa-apa dalam 90 hari ini, cuma 10 peratus sahaja. Kita (Malaysia) negara kecil, penduduk tidak besar, jadi kena bincanglah (dengan AS),” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2025, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia mengemukakan empat bidang utama bagi mencapai penyelesaian yang dipersetujui bersama berhubung perkara tarif timbal balas yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Sehubungan itu, Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, telah mengetuai delegasi untuk bertemu dan berbincang dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS, Duta Besar Jamieson Greer, di Washington DC kelmarin.
Dalam pertemuan tersebut, Malaysia berkongsi mengenai keterbukaannya untuk meneruskan rundingan mengenai tarif timbal balas yang dikenakan oleh AS terhadap Malaysia. – KOSMO! ONLINE