SUNGAI PETANI – Perikatan Nasional (PN) tetap berpuas hati dengan sokongan pengundi teras PN di DUN tersebut meskipun tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada semalam.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, walau bagaimanapun pihaknya masih menunggu keputusan analisa lanjut berkaitan PRK tersebut.
“Bilik gerakan baru sahaja hantar analisa, saya pun tak sempat nak baca lagi. Namun, daripada segi keseluruhan, pengundi PN tidak berkurang, tetap ‘maintain’ kita punya pengundi teras di sana (DUN Ayer Kuning),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Akademi Darul Ilmi (ADI) di ADI, di sini hari ini.
Katanya, secara keseluruhan, keputusan itu masih baik bagi PN.
“Walaupun tak bertambah tetapi dengan merosotnya peratusan keluar mengundi cuma 58 peratus sahaja, undi kita ‘maintain’ cuma kurang 800 undi,” ujarnya.
Pada PRK DUN Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, dari Barisan Nasional (BN) diumum menang dengan majoriti lebih besar apabila memperoleh 5,006 undi majoriti atau 11,065 undi keseluruhan.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu menewaskan dua pencabarnya iaitu Abdul Muhaimin Malek, 44, daripada PN dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40. – KOSMO! ONLINE