fbpx

Liga M: Perak FC akhirnya terpaksa ‘dikuburkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERAK FC tidak mampu untuk meneruskan saingan di Liga Super musim depan apabila sudah kehabisan dana hingga memaksa mereka menarik diri.

TEKA-teki penyertaan Perak FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan akhirnya terlerai apabila pihak pengurusan pasukan mengambil keputusan untuk menarik diri.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi menerusi satu kenyataan semalam menjelaskan pihaknya sudah melakukan sehabis baik untuk menyelamatkan pasukan.

“Berat hati untuk kami menyatakan perkara ini, namun masanya sudah tiba. Kami secara rasmi menarik diri daripada Liga Super musim depan dan menamatkan perjalanan Perak FC.

“Kami bermula dengan impian besar untuk membina sesuatu yang mampan dan boleh dibanggakan rakyat Perak. Kami percaya bahawa dengan sokongan anda, kami dapat mewujudkan kelab yang bukan sahaja kompetitif, tetapi berteraskan semangat komuniti dan kecintaan terhadap bola sepak.

“Kami mengambil alih kelab ini yang dibebani hampir RM8 juta hutang gaji. Kami sudah menyelesaikan hutang itu dan kami memberikan segala-galanya termasuk masa, keyakinan dan hampir RM40 juta dalam tempoh tiga tahun.

“Namun, realitinya sokongan yang kami perlukan tidak berkembang seperti yang diharapkan. Sokongan daripada sektor awam dan swasta di Perak tidak hadir dan pertumbuhan yang dijangkakan dalam jumlah langganan TBG (kelab peminat) juga jauh dari sasaran.

“Dana dalaman kini sudah habis dan kami tidak mampu untuk teruskan lagi,” katanya.

Semalam status penyertaan skuad Perak FC pada saingan Liga Mpada musim depan menjadi tanda tanya selepas pihak pengurusan dikhabarkan sudah mengangkat ‘bendera putih’ dan perkara ini mula heboh dalam kalangan peminat apabila khabar itu tersebar di media sosial.

Dalam masa sama, Azim menjelaskan pihaknya akan menjual baki barangan kelab demi mengumpul dana bagi tujuan menyelesaikan tunggakan gaji.

“Ini bukan pengakhiran yang kami mahukan tetapi kami sudah lakukan yang termampu. Terima kasih kerana berdiri di sisi kami dan kami akan mengingati setiap sorakan yang diberikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI