fbpx

Semangat juang anggota TLDM jadi benteng utama – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kecekalan dan semangat juang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi benteng utama dalam memastikan negara aman dan sejahtera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selama lebih sembilan dekad TLDM menunjukkan komitmen, disiplin dan profesionalisme yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan maritim Malaysia.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga TLDM atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai dalam menjaga keselamatan perairan negara.

“Saya mendoakan TLDM terus maju, diperkasa dengan teknologi dan kepakaran semasa serta terus menjadi angkatan laut yang disegani di rantau ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sempena sambutan Hari TLDM ke-91, hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut memuat naik hantaran di media sosial menyatakan penghargaan beliau kepada para anggota TLDM.

Menurutnya, anggota TLDM cekal berjuang untuk menjaga dan melindungi kedaulatan perairan negara tanpa kenal erti lelah.

Kata beliau, keberanian mereka mengharungi badai, membelah samudera serta kesetiaan mereka pada tanah air adalah inspirasi seluruh rakyat Malaysia.

“Terima kasih atas segala pengorbanan dan dedikasi. Jasa kalian sama sekali tidak terbanding dan tidak akan dapat dibalas.

“Semoga TLDM terus maju, perkasa dan diberkati dalam setiap misi demi kedaulatan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI