PETALING JAYA – Pemilik akaun media sosial Ramzul Ikbal Saiful Aula (رمزول إقبال سيف الأولى) bukan lagi kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak tahun 2018.
Jakim dalam satu kenyataan media berkata, pemilik akaun media sosial tersebut hanya pernah berkhidmat sebagai pegawai kontrak.
“Jakim menegaskan pemilik akaun media sosial bernama Ramzul Ikbal Saiful Aula (رمزول إقبال سيف الأولى) yang menulis melalui satu hantaran di media sosial beliau sendiri bukan lagi merupakan kakitangan Jakim sejak tahun 2018.
“Individu tersebut hanya pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kontrak (Contract for Service – COS) dalam kapasiti sebagai Penerbit Rancangan dan bukan Pegawai Hal Ehwal Islam atau pemegang jawatan tetap di Jakim,” kata kenyataan itu hari ini.
Pemilik akaun media sosial berkenaan didapati membuat hantaran berkenaaan beberapa isu yang mengundang kritikan pengguna media sosial terhadap Jakim.
Menurut Jakim, segala kenyataan, pandangan atau komen yang dikongsikan oleh pemilik akaun tersebut di media sosial adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi Jakim.
Ujar Jakim, jabatan itu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan yang dibuat oleh bekas pegawai kontrak tersebut selepas tamat perkhidmatannya.
“Jakim menyeru orang ramai untuk sentiasa merujuk kepada sumber rasmi jabatan bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE