BAGAN DATUK – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning merupakan bukti dokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan di negeri ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bahkan ia juga membuktikan sokongan rakyat negeri ini terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Insya-Allah saya akan memantau bersama-sama dengan Menteri Besar prestasi dan perkhidmatan yang akan diberikan oleh Ustaz Yusri.
“Mudah-mudahan beliau akan terus turun ke bawah menyantuni akar umbi, penduduk di Ayer Kuning dari pelbagai kaum dan merapatkan barisan serta santuni juga mereka yang belum sempat memberikan sokongan dalam bentuk undi kepada beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini hari ini.
Calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, berjaya menewaskan pesaingnya Dari Perikatan Nasional (PN), Abd. Muhaimin Malek, 44, dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menzahirkan penghargaannya terhadap Saarani, jentera-jentera BN serta parti-parti komponen BN dan Pakatan Harapan (PH) yang telah berusaha membantu kempen PRK Ayer Kuning tersebut. – KOSMO! ONLINE