TAPAH – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menunjukkan kerjasama erat gabungan parti itu bersama Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi BN Perak dan UMNO Negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semula lapisan jentera BN atau PH telah bekerja dan bertungkus-lumus menarik pengundi.
“Macam-macam kita buat. Saya sendiri berulang ke beberapa tempat (Ayer Kuning). Itu tanda kerjasama erat dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya dalam ucapannya di Pusat Gerakan BN di Kampung Haji Tahir, di sini malam ini.
Katanya, penduduk Ayer Kuning tidak termakan dengan fitnah yang meracuni pemikiran rakyat.
“Jadi jangan ada siapa datang ke Ayer Kuning ini bawa fitnah meracun pemikiran rakyat, mengadu domba. Ini secara sah ditolak pengundi.
“Terima kasih kepada penceramah, jentera meraih undi tanpa perlu maki hamun orang, tanpa perlu buat fitnah tetapi dengan kasih sayang, merayu kepada mereka supaya beri undi kepada calon kita,” ujarnya.
Saarani yang turut gembira dengan peningkatan undi pengundi muda, kaum Melayu dan Cina menambah, Kerajaan Perpaduan komited untuk berbuat kebajikan kepada rakyat negeri Perak dan Malaysia.
“Alhamdulillah penduduk dan pengundi Ayer Kuning faham, menerima hujah, rayuan kita. Mari kita teruskan kasih sayang ini. Pencinta kedamaian hari ini kita teruskan cara yang sama berkempen tanpa perlu memaki sesiapa.
“Saya percaya jika kita dapat teruskan dari semasa ke semasa jadi kerajaan yang berwibawa, bukan sahaja di Perak (kejayaan) tetapi seluruh Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE