JAKARTA – Satu klip video tular memaparkan seorang pengantin lelaki dibelasah secara beramai-ramai oleh sekumpulan pemuda pada majlis perkahwinannya di Indonesia, lapor portal berita Lambe Turah.
Kejadian berlaku di Parigi Moutong, wilayah Sulawesi Tengah, baru-baru ini.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @akuratco memaparkan pengantin lelaki bersama calon isterinya sedang mempersiapkan diri di sebuah bilik.
Detik ceria menjadi cemas apabila sekumpulan lelaki memasuki bilik itu lalu memukul dan menendang pengantin lelaki.
Orang ramai menjerit ketakutan, manakala pengantin wanita dilihat menangis selepas melihat pasangannya dipukul.
Masih belum jelas punca dan motif serangan tersebut.
Rakaman itu mencatatkan lebih 545,800 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Seeloknya batalkan sahaja perkahwinan!” kata seorang netizen.
“Tak bekas kekasih pengantin lelaki, mesti bekas kekasih pengantin wanita,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI