MARAN – Seorang lelaki yang sebelum ini menderita sakit buah pinggang kini menerima ujian berat selepas hilang penglihatan akibat komplikasi kencing manis dan darah tinggi.
Mohd. Fadil Nordin, 55, berkata, dia disahkan menghidap kencing manis pada usia 35 tahun selepas pengsan ketika menyertai satu program di Lubuk Yu, di sini.
Katanya, sejak itu penyakitnya semakin serius sehingga kedua-dua buah pinggangnya gagal berfungsi dan dia terpaksa menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu sejak 2020.
“Saya tidak lagi mampu bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan Zakat Pahang bagi menampung kos rawatan hemodialisis yang mencecah lebih RM2,400 sebulan.
“Ini belum termasuk kos perubatan tambahan, makanan harian dan tambang ke pusat rawatan, selain setiap empat bulan perlu buat penukaran ‘tapak’ untuk cucuk jarum hemodialisis.
“Kosnya RM13,000 sekali buat, tidak termasuk ubat dan rawatan lain,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Felda Jengka 1, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dua anak lelakinya berusia 22 dan 28 tahun sanggup berhenti kerja di Kuala Lumpur untuk menjaga beliau sepenuh masa termasuk menguruskan perjalanan ulang-alik ke pusat dialisis.
“Anak-anak sanggup korbankan pekerjaan demi saya, tetapi sekarang kami tiada pendapatan dan duit simpanan sudah habis.
“Kalau bukan kerana ibu saya yang menumpangkan kami di rumahnya tidak tahulah bagaimana nasib kami,” ujarnya.
Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi talian 011-2692 3352 atau menyalurkan sumbangan ke akaun bank Mohd. Fadil Nordin 0600441000043441 (Bank Simpanan Nasional).