JOHOR BAHRU – Lapan individu termasuk seorang gadis dikenali sebagai Bella yang tular baru-baru ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, berdepan tiga pertuduhan, manakala tujuh rakan lelakinya pula menghadapi empat pertuduhan iaitu melakukan ugutan bunuh, memukul, mengurung dan mencederakan seorang lelaki pada Jumaat lalu.
Tujuh lelaki itu ialah Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25, Ahmad Rushdi Jumadi, 23 , Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25, Muhammad Haikal Zulkarnain, 19, Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23, Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20, dan Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19.
Kesemua mereka kemudian mengaku salah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama dengan dua individu yang masih bebas didakwa melakukan ugutan bunuh, pemerasan, mengurung secara salah dan mencederakan mangsa, Muhammad Faris Syahmi Mohd. Ridzwan, 22.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Blok J, Pangsapuri Daisi, Plentong, Masai, di sini pada pukul 10 malam, 18 hingga 19 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 506, Seksyen 384, Seksyen 323 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab. Latif dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman dan Nur Fatihah Mohd Nizam.
Kesemua tertuduh diwakili Peguan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfarahin Mohd Yazid dan T. Nadarajan.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan tersebut, namun Norfarahin merayu jumlah jaminan yang rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan tujuh tertuduh lelaki diikat jamin sebanyak RM16,000 setiap seorang, manakala Bella pula RM14,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Jun ini untuk bacaan fakta kes dan jatuh hukuman. – KOSMO! ONLINE