fbpx

Tak dapat ‘straight’ A, bukan pengakhiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL ATIKAH (kiri) menerima kucupan dari ibunya, Nurul Huda selepas mengambil keputusan SPM di SMK Tun Habab, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Walaupun terpaksa mengambil peperiksaan di dalam wad Hospital Kota Tinggi (HKT), namun ia tidak mematahkan semangat juang seorang anak penjaja bubur mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Nurul Atikah Mohd Affendy, 18, berkata, semasa mengambil peperiksaan bertulis kertas Sejarah pada 7 Januari lalu, dia jatuh pengsan sebelum dikejarkan ke HKT.

Jelas anak sulung enam beradik itu, susulan itu dia terpaksa mengambil peperiksaan bertulis mata pelajaran Sejarah, Matematik dan Pendidikan Agama Islam di dalam wad selama tiga hari berturut-turut.

“Saya jatuh pengsan sebab doktor kata tekanan darah saya rendah kerana tidak cukup rehat melakukan ulang kaji pelajaran. Walaupun diuji, saya bersyukur dapat keputusan yang baik meskipun tidak mencapai target 6A ke atas.

“Keputusan hari ini bukanlah satu pengakhiran dalam mengejar kejayaan dalam hidup, malah saya sifatkan ianya satu permulaan untuk melangkah ke arah yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas mengambil keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, di sini hari ini.

Nurul Atikah yang pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Kelab Agama Islam itu berkata, sekiranya diberi peluang dan ruang dia ingin melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk merealisasikan impian menjadi seorang guru Bahasa Melayu.

Jelasnya, jika tiada rezeki di IPG, dia merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang Bahasa Melayu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau mana-mana pusat pengajian yang menawarkan bidang Bahasa Melayu sebab saya memang minat Bahasa Melayu.

“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang guru, jika tiada rezeki di situ, saya akan berusaha untuk bekerja dalam bidang komunikasi.

“Saya bukan anak orang senang, bapa (Mohd Affendy Asiri, 47, berniaga bubur di tepi jalan di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, ibu pula seorang suri rumah,”katanya.

Jelasnya, dia akan berusaha untuk mencapai cita-citanya bagi membalas jasa dan pengorbanan ibu bapanya.

Ujarnya, salah satunya peristiwa yang tidak akan dia lupakan ialah ibunya, Nurul Huda Abdullah, 47, yang sanggup menggadai barang kemas untuk membeli sebuah laptop bagi memudah membuat tugasan serta mengulang kaji pelajaran.

“Ayah saya pula kerja sebagai penjaja, berniaga bubur berlauk di sekitar taman, saya lihat sendiri malah membantu mereka berniaga, dari situ saya tahu betapa susahnya nak cari duit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI