fbpx

Pengusaha ladang babi di Ayer Kuning ikut SOP – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika ditemui pada sambutan Hari Raya Aidilfitri ATM 2025 di Wisma Perwira ATM, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pengusaha ladang babi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak melanggar sebarang peraturan, sebaliknya beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengusaha tersebut sudah mendapat lesen sejak sekian lama untuk menjalankan operasi di kawasan berkenaan.

Justeru, katanya, cadangan Perikatan nasional (PN) mengenai penambahbaikan di ladang tersebut adalah tidak relevan.

“(Kenapa) ketika mereka (wakil PN) menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian (negeri) tidak ada usaha untuk melakukannya (penambahbaikan seperti dicadangkan).

“Jadi, cadangan mereka untuk melakukan penambahbaikan itu saya fikir tidak lagi relevan kerana pengusaha itu sudah mengikut SOP ditetapkan KPKM,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira, hari ini.

Sebelum ini, PN menggesa kerajaan negeri menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sebuah ladang ternakan babi yang didakwa membuang sisa najis haiwan itu ke Sungai Bidor.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya telah menghantar sampel air sungai ke makmal swasta bagi pengesahan.

Mengulas mengenai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin dengan kemampuan calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir untuk meraih kepercayaan pengundi pelbagai kaum di kawasan berkenaan.

“Saya sendiri akan berada di Ayer Kuning esok dari pagi hingga malam, kita akan berusaha sedaya upaya dan sekuat mungkin untuk menentukan pengekalan kerusi itu di tangan BN,” ujarnya.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, Abdul Muhaimin Malek mewakili PN dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola persahabatan di Pulau Pinang, pada 22 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI