SHAH ALAM – Trend menikmati menu shellout yang menjadi kegilaan masyarakat di negara ini semakin ‘sunyi’ dan jika ada, mungkin ada ditawarkan oleh beberapa restoran yang masih kekal mempromosikan hidangan unik ini.
Dalam kesempatan tersebut, Doubletree by Hilton Shah Alam i-City telah mengambil inisiatif mempromosikan semula menu shellout dalam tiga segmen hidangan lazat dan menarik yang berkaitan dengan makanan laut melalui tema Seafood Surfers.
Menu premium yang ditawarkan dalam tempoh terhad di restoran Makan Kitchen yang memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu terdiri daripada Tabletop Seafood Shellout, Air-Flown Irish, AS dan French Oysters dan juga Chef Wilson’s Signature King Crab Briyani.
Cef Eksekutif, Md Azhar Md Shariff berkata, menu shellout yang ditawarkan di hotel tersebut memiliki kelainan daripada aspek gabungan sos yang dimasak dengan makanan laut segar, sayur dan juga jagung yang bakal memenuhi keperluan peminat hidangan tersebut.
Memberi pengalaman berbeza daripada pesaing dan juga restoran, saiz makanan yang dihidangkan kepada pelanggan mengikut inisiatif kelestarian agar dapat memenuhi selera pelanggan dengan sebaiknya tanpa had tetapi tidak dibazirkan.
“Shellout kali ini bertemakan selera nyonya yang digabungkan dengan campuran makanan laut yang segar ditaburkan di atas meja dengan cara unik selain terdapat nasi putih untuk dinikmati bersama,” katanya ketika ditemui dalam sesi prebiu makanan tersebut baru-baru ini.
Md Azhar yang berpengalaman selama hampir 18 tahun dalam industri perhotelan menjelaskan, promosi baharu di Makan Kitchen itu juga menampilkan set tiram yang dibawa khusus dari Ireland, Amerika Syarikat dan Perancis yang dimasak dengan rasa tempatan digabungkan dengan rasa manis, masak lemak, rendang selain sos khas yang disediakan.
Pakej makanan laut itu juga menampilkan set hidangan nasi beriani ketam gergasi bakal memenuhi selera yang menggemari nasi dan juga ketam.
Selain menu utama ini, pelanggan juga boleh menikmati hidangan bufet lain daripada pembuka selera hinggalah kepada minuman dan juga pemanis mulut. -KOSMO! ONLINE