Siakap merah saiz sebegini sudah cukup memuaskan apabila dapat didaratkan dari kayak (kiri). Antara hasil yang saya dapat di Telaga Nenas (kanan).

Mengilat di muara dengan kayak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Seperti yang dimaklumi, ikan yang hidup di perairan air payau ataupun estuari yang kebiasaannya menjadi buruan adalah ikan siakap putih, siakap merah, jenahak, bandang, bulan kerapu, alu-alu, kurau dan senangin.

Selalunya ikan-ikan ini dipancing dengan menggunakan umpan seperti udang hidup, udang kopek, anak ikan belanak, hirisan ikan, sotong dan perumpun.

Teknik pancingan yang popular sudah tentulah pancingan dasar atau menggunakan pelampung.

Apabila satu-satu trip meman­cing muara itu dilakukan pancingan gewang 100 peratus, sudah tentu sensasinya berlainan, lebih-lebih lagi jika ia dilakukan dari atas kayak.

Telaga Nenas

Kunjungan ke Telaga Nenas di Air Tawar, Perak ini telah kami rancang sebulan awal dengan disertai empat orang rakan. Segala persiapan rapi kami lakukan termasuk menempah penginapan inap desa berhampiran kawasan pancingan kami.

Kali ini kami tidak menggunakan bot fiber dan tekong. Sebaliknya pancingan akan dilakukan dengan menggunakan kayak yang dibuat khas untuk pemancing. Trip ini juga merupakan kali pertama kami turun dengan kayak.

Paling penting untuk pancingan di kawasan muara ialah ilmu ‘membaca’ waktu air pasang dan surut, kerana ia amat mempengaruhi waktu ikan makan dan memudahkan pergerakan kayak kami nanti.

Kami perlu tahu lokasi mengilat yang berpotensi seperti kawasan yang mempunyai struktur macam pokok tumbang, berbatu karang, bot karam dan sebagainya.

Ini kerana kawasan sebegini merupakan tumpuan bagi ikan pemangsa mengendap makanannya.

Pemilihan gewang

Gewang bersaiz kecil menjadi pilihan utama kerana ikan pemangsa di sini gemar memburu makanannya yang berupa anak-anak ikan bersaiz kecil dan oleh itu gewang  jenis minnow (selaman cetek) dipilih.

Pemilihan warna gewang juga memainkan peranan penting. Saya lebih suka menggunakan gewang berwarna semula jadi yang mimik warna ikan-ikan kecil yang menjadi diet ikan pemangsa di sini seperti anak belanak. Jadi, gewang warna berkilat keperakan menjadi pilihan utama.

Kayak-kayak yang sudah bersedia untuk turun memancing.

Oleh kerana kawasan sasaran lemparan gewang bereba banat, maka mata kail tunggal
(single hook) amat disyorkan, bagi mengurangkan risiko gewang tersangkut pada struktur.

Masa terbaik

Masa terbaik untuk memancing di sini adalah ketika air mati atau air kecil. Ini boleh dirujuk pada jadual air pasang surut yang tersedia secara online.

Tidak disyorkan memancing ketika air besar kerana arus yang laju bakal menyukarkan kayak dikendalikan.

Waktu air surut juga sesuai untuk memancing, kerana pada waktu tersebut ikan bulan (tarpon) akan mula berkumpul. Ia akan menjadi galak di permukaan air ketika perubahan arus.

Inilah masa yang sesuai untuk dicuba gewang-gewang yang bersaiz mikro atau spinfly.

Kayak

Kayak yang kami gunakan untuk trip ini ialah dari jenama Lipat Walker. Kayak ini profilnya berbeza, ia terbahagi kepada dua bahagian yang boleh dilerai dan dicantumkan. Kelebihan utama kayak jenis ini ia amat mudah dikendalikan.

Ia juga tidak memakan ruang baik ketika disimpan di rumah, ataupun ketika dibawa semasa trip meman­cing. Berat keseluruhan kayak jenis ini cuma 30kg dan berat setiap bahagian adalah 15kg.

Bahan yang digunakan untuk menghasilkan kayak ini ialah dari low-density polyethyene (LDPE), iaitu sejenis thermo polimer plastik yang berketumpatan rendah dan mempunyai ciri lembut, ringan, fleksibel dan liat. Jadi bahan ini sesuai untuk dibuat kayak kerana ia dapat bertahan untuk kegunaan dalam kondisi yang lasak.

Panjang kayak ini cuma 10 kaki dan ideal untuk kawasan estuari kerana kestabilannya menahan arus sungai. Kayak ini boleh ditambah aksesori tambahan seperti GPS, sonar dan thruster (enjin elektrik) bersaiz kecil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN