MELAKA – Seorang pereka pakaian ‘streetwear’ dikenakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) selepas tular perbuatannya membuat konten di TikTok dengan membuang baju ke dalam Sungai Melaka.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, tindakan tersebut diambil bukan sahaja disebabkan aksi pencemaran dilakukan tetapi sebagai pengajaran awam susulan kandungan tersebut turut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
“Pereka pakaian lokal berusia 34 tahun itu telah dikenakan kompaun sebanyak RM500 kerana perbuatannya meskipun dia mendakwa ia sekadar kandungan media sosial premisnya yang terletak di Bangunan Stadthuys dan telah mengambil semula pakaian dibuang.
“Tindakan kompaun dibuat pada Ahad lalu selepas pereka terbabit mengakui kesalahan tersebut seperti dalam video berdurasi 13 saat yang turut tular,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Jelasnya, kompaun tersebut dibuat di bawah Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di bawah Seksyen 47(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Ia adalah atas kesalahan membuang pakaian atau sampah di suatu tempat awam, iaitu di dalam sungai boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500.
“Pereka terbabit ada mendakwa perbuatan itu adalah pertama kali dilakukannya, namun kita tetap mengambil tindakan tegas kerana kesalahan itu serius,” ujarnya.