KUANTAN – Kegembiraan seorang jurutera yang dapat mengeluarkan pulangan keuntungan pelaburan sebanyak RM15,032.53, tidak berpanjangan apabila dia akhirnya mengalami kerugian sebanyak RM1.1 juta selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula 3 Disember lalu selepas mangsa yang merupakan lelaki berumur 36 tahun membuat pelaburan dalam talian.
“Mangsa telah membuat sebanyak 19 transaksi melibatkan tujuh akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM1,163,759.
“Pelbagai alasan diberikan oleh pihak pentadbir platform bagi menghalang pengeluaran wang melebihi RM4 juta yang kononnya merupakan hasil pulangan pelaburan,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM15,032.53 sebelum tidak dapat lagi mengakses keuntungan selebihnya.
Jelasnya, sumber kerugian mangsa adalah wang simpanan sendiri serta dana yang dipinjam daripada ahli keluarga dan rakan-rakan untuk tujuan pelaburan tersebut.
Dalam pada itu Yahaya berkata, pihak polis kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
Katanya orang ramai juga diingatkan jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan. – KOSMO! ONLINE