PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) menjalankan pemeriksaan menyeluruh kepada produk-produk makanan daripada pasaran Indonesia yang didapati mengandungi DNA babi (porcine).
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya memandang serius pengumuman rasmi oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia semalam berhubung penarikan balik produk makanan yang dikesan mengandungi DNA babi tersebut.
Susulan itu beliau berkata, pihaknya mengarahkan pihak-pihak pengimport yang terlibat segera menghubungi Jakim melalui emel [email protected] dan mengambil tindakan penarikan balik produk-produk berkenaan dari pasaran Malaysia.
“Jakim menyokong penuh tindakan tegas dan proaktif pihak berkuasa Indonesia dalam menangani isu pelanggaran pematuhan pensijilan halal serta aspek keselamatan makanan.
“Berdasarkan siaran media rasmi BPJPH (https://bpjph.halal.go.id/detail/siaran-pers), hasil pemantauan bersama dengan BPOM mendapati sebanyak 11 ‘batch’ daripada sembilan produk makanan telah dikesan mengandungi DNA babi (porcine) melalui analisis makmal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sembilan ‘batch’ daripada tujuh produk memiliki sijil halal, manakala dua ‘batch’ daripada dua produk tidak memiliki sijil halal.
“Langkah menarik balik produk ini adalah sejajar dengan prinsip utama dalam pemeliharaan hak pengguna Muslim serta memastikan integriti sistem pensijilan halal negara sentiasa terpelihara dan
diyakini.
“Justeru itu, Jakim menyeru orang ramai untuk turut memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sekiranya menjumpai produk-produk
tersebut di pasaran,” katanya.
Katanya, aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Jakim melalui pautan https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do. – KOSMO! ONLINE