PETALING JAYA – Kecendurangan seksual tidak normal atau mempunyai keinginan untuk mengintip, melihat serta merakam individu lain merupakan ciri-ciri voyeurism.
Public Health Malaysia dalam hantaran di Facebook berkata, fetishisme seksual pula ialah keadaan di mana seseorang merasakan tarikan seksual luar biasa terhadap objek, bahagian tubuh, atau keadaan tertentu, yang bukan secara lazim dianggap erotik.
Katanya, antara contoh fetish ialah tertarik dengan kehamilan (pregnancy fetish) atau ada juga yang tertarik dengan kaki, kasut, pakaian dalam, bau tertentu, dan sebagainya.
“Mengesan individu yang mempunyai fetish atau voyeurism bukan mudah kerana mereka sering bertindak diam-diam
“Sekiranya mengesyaki seseorang, anda boleh bertindak dengan mencatat masa, lokasi, dan tingkah laku yang mencurigakan,” katanya.
Selain itu, sekiranya dikesan, boleh ambil gambar atau video sebagai bukti jika dipastikan selamat untuk dilaporkan kepada pengawal keselamatan atau polis secepat mungkin.
“Jika anda mempunyai keinginan luar biasa seperti gejala fantasi atau tingkah laku voyeuristik dan telah menyebabkan tekanan psikologi atau mudarat kepada orang lain dapatkan pemeriksaan dan rawatan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE