PETALING JAYA – Pertemuan dua lelaki warga emas yang bersahabat baik sejak kecil, mengundang sebak dalam kalangan orang ramai apabila melihat detik perjumpaan dua individu tersebut.
Menerusi hantaran dimuat naik pengguna TikTok sarinababa731, wanita tersebut berkongsi video pertemuan bapanya dengan sahabat baik lelaki itu, malah mereka sekeluarga tidak memaklumkan perancangan untuk sesi perjumpaan tersebut.
“Akhirnya tercapai juga nak jumpa sahabat baik dari kecil, dari bujang sampai dah kahwin hingga tua, alhamdulillah.
“Ayah tak tahu kami dah rancang nak bawa ayah jumpa kawan baik dia. Sebab dia selalu cakap, selalu teringatkan kawan dia kebelakangan ini dan setiap kali bercerita, dia akan menangis.
“Sahabat ayah juga macam dapat rasa benda sama. Dia ikhtiar cari nombor telefon saya dan akhirnya, dapat juga jumpakan mereka berdua. Sepanjang pertemuan, macam-macam cerita dari zaman kecil sehingga sekarang,” katanya menceritakan detik pertemuan tersebut.
Katanya, dia gembira dapat menemukan kedua-dua insan tersebut.
“Sebagai anak sangatlah gembira bila tengok mereka gembira. Di hari-hari tua mereka, semoga dapat lagi cipta kenangan indah bersama,” katanya.
Menerusi ruangan komen, mereka yang sebak dengan pertemuan dua warga emas itu selain ada yang mengucapkan syukur di atas perjumpaan berkenaan.
“Atuk dua ni buatkan saya nangis lah,” komen seorang pengguna TikTok.
“Sahabat dunia akhirat,” ujar seorang individu.
“Dan akhirnya ini yang kita cari bila kita tua. Mencari-cari masa kecil kita bersama orang yang kita sayang yang melangkah bersama, rindu kan,” komen seorang lagi pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE
@sarinababa731Akhirnya tercapai juga nak jumpa sahabat baik dari kecik, dari Bujang sampai dah kahwin hingga hari tua..alhamdulillah..♬ Kenangan – Ziell Ferdian