JOHOR BAHRU – Tindakan kerajaan mengusir operator lama Menara Kuala Lumpur, iaitu Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn. Bhd. adalah berlandaskan undang-undang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, Menara KL itu adalah hak milik penuh kerajaan.
Katanya, tindakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang memasuki premis Menara KL, Rabu lalu juga bukan bersifat penindasan.
“Namun, sekarang ini di dalam proses mahkamah, maka saya tidak boleh mengulas lebih. Cuma saya menyatakan sebarang tindakan kerajaan adalah berlandaskan undang-undang,” katanya selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi), Balai Raya Taman Desa Skudai, Taman Sri Skudai, di sini hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam isu tersebut, sebaliknya kerajaan hanya mengangkat dan mengutamakan kedaulatan undang-undang negara ini.
Jumaat lalu, MKLSB bersama Hydroshoppe membuat laporan polis berhubung insiden kerosakan dan kemusnahan terhadap barangan milik syarikat berkenaan.
Menurut Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, pihaknya menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada insiden itu melibatkan unsur khianat yang disengajakan.-KOSMO! ONLINE