fbpx

THT sasar kedudukan podium MIHL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
THT tetap menyasarkan kedudukan podium meskipun ini adalah penampilan pertama dalam saingan MIHL. - PERSATUAN HOKI TERENGGANU

SELEPAS menamatkan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) dengan penuh bergaya sebagai juara trebel musim ini, Pasukan Hoki Terengganu (THT) kini mengalihkan fokus kepada cabaran baharu dalam Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2025.

Biarpun ini adalah penampilan sulung di pentas MIHL, namun THT tetap memasang impian untuk meraih kedudukan podium, sekali gus membuktikan mereka juga mampu bersaing dalam format dalam dewan.

Ketua jurulatihnya, Mohd. Harfizi Baharom menjelaskan penyertaan di MIHL penting bagi memastikan pemain kekal aktif dan berada dalam program pembangunan berterusan selepas tamatnya MHL.

“Ini untuk kesinambungan program pemain. Jadi selepas habis MHL, mereka boleh teruskan dengan hoki dalam dewan. Ia program berterusan sebagai persiapan menjelang MHL tahun depan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Harfizi mengakui masih memerlukan masa untuk membentuk keserasian dalam kalangan pemain kerana hanya tiga hingga empat orang yang berpengalaman hoki dewan.

“Kita perlukan masa untuk sesuaikan diri sebagai satu pasukan tetapi bagus juga untuk perkembangan pemain, terutama dari segi kefahaman taktikal dan kecergasan,” ujarnya.

Dalam aksi pembukaan, THT menang tipis 1-0 ke atas Malaysia University dan pemain mempamerkan peningkatan prestasi meskipun masih dalam proses adaptasi dengan peraturan dan corak permainan.

“Kita tiada latihan intensif tetapi daripada satu demi satu perlawanan, mereka semakin faham peraturan dan corak permainan,” katanya.

Menyentuh mengenai sasaran musim ini, Harfizi mengakui THT tidak meletakkan tekanan terlalu tinggi, namun tetap mahu menamatkan kejohanan dalam kelompok terbaik.

“Kita sasarkan untuk cuba berada dalam kedudukan podium. Kita akan lawan sampai habis kejohanan walaupun ini tahun pertama,” katanya.

Sebagai rekod, Maybank muncul juara edisi lalu selepas menewaskan TNB 4-1 di final dan kini skuad itu masih dibarisi pemain berpengalaman dalam arena hoki dalam dewan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI