PETALING JAYA – Kemelut yang melanda keluarga penyanyi Ben Ladin belum berakhir apabila dia sekali lagi melahirkan rasa kesal selepas mendapat tahu dua adiknya tidak bersekolah.
Menurut Ben Ladin atau nama sebenarnya, Muhammad Benladin, 24, kedua-dua adiknya masing-masing berusia 12 dan lapan tahun dikatakan diabaikan oleh pihak yang bertanggungjawab menjaga dan membesarkan mereka.
Bahkan atas dasar prihatin, Ben telah meninggalkan sebuah kereta dengan harapan dapat digunakan untuk menghantar adik-adiknya ke sekolah.
“Kereta aku tak pernah tuntut sebelum ini fikirkan adik-adik nak sekolah.
“Sampai hari ini aku dapat tahu adik aku tak sekolah, seorang dah 12 tahun, seorang dah lapan tahun,” tulis yang meluahkan perasaan menerusi akaun Instagram.
Apa yang mengecewakan penyanyi yang pernah popular dengan lagu Hikayat Benladin itu, pihak yang menjaga kedua adiknya itu bukan sahaja melakukan penipuan mencecah beratus ribu ringgit dan hidup mewah, tetapi gagal menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga.
Malahan kereta yang ditinggalkan juga tidak berada dalam keadaan baik dan memiliki banyak saman.
“Scam duit orang sampai beratus ribu. Adik aku tak sekolah. Belanja mewah boleh. Roadtax (cukai jalan) mati, saman berlambak. Kereta hancur,” katanya lagi.
Terdahulu, Ben mengejutkan peminat apabila dia membuat laporan polis kerana tidak tahan diganggu oleh individu yang menjadi mangsa penipuan kedua ibu bapanya.
Lebih memilukan dia turut menjadi mangsa apabila kad pengenalannya digunakan untuk penipuan tersebut selain keretanya turut dicagarkan.
Disebabkan tindakan ibu bapanya, banyak pihak takut untuk mengundang atau menjemputnya bagi menjayakan persembahan. – KOSMO!ONLINE