fbpx

Kerajaan negeri dicadang wujudkan syarikat feri Langkawi sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerajaan negeri dicadangkan untuk mewujudkan sebuah syarikat feri milik negeri. Gambar hiasan

ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud mencadangkan Kerajaan Negeri Kedah agar mewujudkan sebuah syarikat feri milik negeri dalam usaha memperkasakan jaringan perhubungan ke Pulau Langkawi.

Kata beliau, jaringan perhubungan dan pengangkutan khususnya ke pulau peranginan itu perlu diperkasakan sebagaimana dititahkan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Feri merupakan nadi utama perhubungan antara tanah besar dan pulau, namun kebergantungan kepada satu operator feri sahaja telah menimbulkan pelbagai masalah termasuk ketidaktentuan jadual, tambang tinggi serta gangguan logistik ketika musim puncak.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri mengambil langkah tegas dan berani untuk mewujudkan sebuah syarikat feri milik negeri sebagai alternatif,” katanya dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Kata beliau, syarikat itu boleh dikendalikan secara usaha sama dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), dengan mandat untuk menawarkan perkhidmatan yang berdaya saing, selamat dan mampu milik.

“Langkah ini bukan sahaja akan memecahkan monopoli yang sedia ada, malah akan meningkatkan mutu perkhidmatan dan membuka peluang pekerjaan baharu,” ujarnya.

Di samping itu, beliau berkata, usaha serta perbincangan untuk mewujudkan laluan penerbangan bagi laluan Alor Setar ke Pulau Langkawi perlu dimulakan sebagai alternatif baharu jaringan pengangkutan.

“Digitalisasi sistem tempahan juga perlu diutamakan agar selaras dengan imej pulau pelancongan bertaraf dunia,” ujarnya.

Tambahnya, beliau juga ingin mencadangkan agar kalangan penjawat awam dan swasta yang tidak mempunyai kad pengenalan beralamat Langkawi diberikan keistimewaan dengan tiket harga sama seperti penduduk pulau itu.

“Ia adalah bagi menghargai jasa serta menjaga kebajikan para penjawat awam dan swasta yang berkhidmat di Langkawi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI