SUBANG JAYA – Seorang lelaki cedera akibat dipukul sekumpulan individu di Medan Selera Puchong Permai, gara-gara dituduh menganggu isteri orang.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian pada pukul 5 petang itu berlaku ketika pengadu menegur kenalannya sebelum ditolak seorang individu tidak dikenali.
“Pengadu kemudian dipukul lebih 10 individu sehingga mengalami bengkak di muka dan telah mendapatkan rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, bertindak atas maklumat, Wan Azlan berkata, empat lelaki berusia antara 18 hingga 35 tahun telah ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Subang Jaya sekitar pukul 1 pagi, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati semua suspek mengaku terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, katanya kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman hari ini, namun telah ditolak memandangkan mangsa menarik semula laporan.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Khairulazizi Ismail (019-2817820),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE