HASRAT skuad ragbi negara untuk kekal beraksi dalam Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2025 lebur selepas akur dengan kekalahan besar 19-59 kepada Sri Lanka pada aksi playoff semalam.
Pada perlawanan di Stadium Racecourse, Colombo itu, skuad Bunga Raya kendalian Mohd. Saizul Hafifi Md. Noor itu gagal untuk menyaingi kehebatan dipamerkan pasukan tuan rumah.
Saizul Hafifi berkata, kepantasan pemain-pemain Sri Lanka gagal dikekang dengan baik oleh anak-anak buahnya, sekali gus menyaksikan Malaysia bakal beraksi dalam Divisyen Satu.
“Perjalanan pasukan bermula seawal bulan tiga dan persediaan kita tidak lama. Saya bentuk pasukan ini dalam keadaan kurang permainan tetapi Alhamdulillah dapat juga ke fasa (latihan) terakhir.
“Semua pemain sudah berikan aksi 100 peratus tetapi masih tidak dapatkan permainan terbaik bertemu Sri Lanka. Kita tahu permainan Sri Lanka hari ini (kelmarin) sangat laju dan pantas, terutamanya backline mereka,” katanya.
Walaupun tewas, namun Malaysia sekurang-kuranganya dapat melakukan tiga try menerusi pemain naturalisasi, Etonia Vaqa Saukuru dengan Nazreen Fitri Nasrudin dan Amirul Aqil Kamsol masing-masing melakukan satu conversion.
Sementara itu, penolong kapten negara, Nasharuddin Ismail tetap berbangga dengan aksi ditampilkan rakan sepasukan selain berharap kekalahan tersebut tidak mematahkan semangat juang pemain-pemain.
“Kalau tengok keputusan, memang tidak berpihak kepada Malaysia tetapi saya bangga dengan prestasi rakan sepasukan. Saya harap ini menjadi batu loncatan untuk maju ke hadapan dan baiki segala kelemahan,” ujarnya.
Sebagai rekod, Malaysia terpaksa beraksi dalam perlawanan playoff selepas menamatkan Divisyen Premier musim lalu di tangga tercorot tanpa sebarang mata, manakala Sri Lanka merupakan juara Divisyen Satu.