BEGINILAH keadaan kediaman yang mengalami kerosakan teruk seolah-olah berada di medan perang di kawasan insiden letupan gas Putra Heights, Subang Jaya. – SHIDDIEQIIN ZON

Ambil tahu kedudukan paip gas sebelum korek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Insiden di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada 1 April lalu mengejutkan seluruh negara apabila letupan besar berpunca daripada kebakaran saluran paip gas sehingga memusnahkan lebih 70 rumah dan 148 kenderaan.

Dalam kejadian pukul 8 pagi pada hari kedua umat Islam menyambut Syawal, lebih 469 keluarga terpaksa berlari keluar dari kediaman mereka demi menyelamatkan diri kerana kebakaran api yang semakin marak.

Meskipun, punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa, namun pakar percaya bahawa pemetaan utiliti bawah tanah lemah serta perancangan kontraktor yang tidak rapi menjadi faktor kepada insiden berkenaan.

Bersama wartawan Kosmo! Ahad, Nurul Izzati Zaini menemu bual Profesor Adjung Universiti Geomatika Malaysia, Jalal Johari yang juga juruukur tanah berlesen di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi mengupas isu tersebut.

KOSMO! Ahad: Berapakan pan­jang saluran paip gas di negara ini dan di mana ia bermula dan sudah berapa lama usianya?
JALAL: Panjang saluran paip gas di Malaysia adalah 2,600 kilometer (km) bermula dari luar pesisir sehingga ke Kerteh, Terengganu, Segamat ke ­Si­ngapura, kemudian ke Meru, Klang dan terus ke Thailand dan pusing semula ke luar pesisir.

Paip gas yang berada di fasa tiga iaitu lokasi kejadian kebakaran Putra Heights berlaku te­lah dibina sejak tahun 1996.

Bagaimanapun, jangka hayat paip gas kebiasaannya 30 hingga 50 tahun. Saya percaya pihak terbabit mempunyai proses pertukaran dan penggantian secara
berkala.

Maka, jika perlu tukar, pihak mereka pasti akan tukar. Dalam insiden ini, usia paip bukanlah antara faktor yang menyebabkan letupan dan kebakaran.

Kalau kita lihat impak letupan saluran paip gas di Putra Heights baru-baru ini amat dahsyat. Pada pandangan tuan apa yang membuat letupan itu jadi begitu besar, adakah di­sebabkan hentakan benda berat atau percikan (spark) api atau lain-lain?
Dalam sektor yang terbakar ini, ada stesen ‘city gate’ yang panjangnya 14km dari satu injap ke satu injap lain.
Kawasan Putra Heights berada di dalam stesen ini.

Bagaimanapun, apabila berlaku kebocoran, injap ini secara automatik akan ditutup. Namun bayangkan sumber gas yang bocor adalah dari sepanjang 14km paip gas. Jadi, meskipun injap sudah ditutup, api sangat marak dan mengambil masa lama untuk ia benar-benar padam.

Selain itu, saban tahun apabila kawasan perumahan wujud, terdapat beberapa jalan utama dibina merentasi saluran paip gas. Seharusnya, sebelum jalan-jalan ini dibina, pemetaan utiliti bawah tanah perlu dibuat untuk mengenal pasti sama ada ia mengganggu keberadaan paip gas tersebut atau tidak.

Bagaimanapun, pihak kontraktor seringkali mengambil jalan mudah dengan mengorek untuk membina jalan dan bukannya menambah jambatan di atas saluran paip gas sehingga menyebabkan kedalaman jarak antara jalan dan paip gas sema­kin mengecil.

Secara saintifiknya, apabila jalan itu diguna oleh pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan berat, ia meningkatkan frekuensi resonans sekali gus menggegarkan saluran paip gas tersebut dalam jangka masa lama serta melemahkan struktur tanah.

Pihak berwajib tidak sepatutnya membenarkan apa-apa jalan dibina merentasi saluran paip gas untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku.

Jika mahu membina jalan, kedalaman antara jalan dan saluran paip perlu dikekalkan supaya tidak diletakkan tekanan ke atas saluran tersebut. Bagaimanapun kita bernasib baik tiada kondominium berdekatan kawasan kebakaran paip gas tersebut.

JALAL menunjukkan peta lokasi insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas Putra Height, Subang Jaya di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini. – SYAKIR RADIN

Apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada tragedi di Putra Heights?
Seperti yang saya jelaskan tadi, pemetaan utiliti bawah ta­nah yang lemah boleh mendorong kepada kebocoran saluran paip gas. Apabila pemetaan utiliti tidak dilaksanakan oleh juruukur berlesen, pihak kontraktor tidak mengetahui apakah risiko di bawah tanah dan sejauh mana saluran paip berada sebelum sesuatu pembinaan atau pengorekan dibuat.

Tragedi ini dipercayai berpunca daripada kerja pengorekan tanpa kebenaran di kawasan ­rizab paip gas, menunjukkan risiko besar akibat perancangan yang kurang rapi serta kekura­ngan kesedaran dalam kalangan kontraktor.

Kebanyakan kontraktor juga kita lihat tidak mempunyai pe­ngetahuan tentang keselamatan atau bahaya gas bocor yang berada di lapangan. Justeru, kursus keselamatan perlu diadakan bagi mendidik para kontraktor untuk menjadi lebih cakna lagi.

Selain itu, ketiadaan rekod infrastruktur bawah tanah yang komprehensif. Banyak saluran paip gas di Malaysia tidak mempunyai pelan ‘as-built’ lengkap, menjadikannya sukar untuk memastikan keselamatan semasa aktiviti pembinaan.

Walaupun di Selangor, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) negeri telah menjalankan pemetaan laluan paip pada tahun 1990-an, pemantauan dan pengemaskinian secara berkala diperlukan untuk mengelakkan insiden seperti ini berulang.

Kontraktor terutamanya yang terdesak untuk menyiapkan projek mengikut jadual, sering kali secara tidak sedar menceroboh rizab saluran paip, sekali gus me­ningkatkan risiko kemalangan.

Dalam rangkaian utiliti, syarikat atau agensi-agensi ini mempunyai data masing-masing, namun tiada integrasi bersepadu menjadikan ia sukar untuk mengemas kini maklumat utiliti bawah tanah secara sistematik.

Mesti ada satu data bersepadu yang dikawal oleh pihak berwajib.

Seperti Jupem ada buat satu sistem dipanggil Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan (Padu) bagi mengintegrasi semua data untuk dikawal selia. Ia sangat membantu, sekurang-kurangnya walaupun lokasi itu tidak betul-betul tepat, tapi pihak kontraktor tahu ‘di sini ada paip, jangan korek’ kemudian kena minta juruukur berlesen mencari lokasi tepat paip.

Adakah pemetaan utiliti bawah tanah terutamanya melibatkan saluran paip gas sudah lengkap dan diperketatkan sepenuhnya agar tahap keselamatan terjamin?
Apa-apa pembinaan atau pe­ngorekan perlu dibuat pemetaan utiliti bawah tanah oleh juruukur bertauliah atau berlesen bagi mengetahui keadaan struktur di bawah tanah.

Sekarang di Selangor pe­metaan utiliti hanya disyaratkan jika ingin mendapat permit kerja bagi pemasangan utiliti yang diuruskan oleh Koridor Utiliti Selangor dan bukannya mana-mana kawasan yang memerlukan izin lalu sahaja.

Banyak kes pemetaan utiliti bawah tanah dilakukan oleh pihak-pihak tidak berlesen.

Dalam insiden di Putra Heights, pihak tertentu mengatakan ada peme­taan utiliti bawah tanah sebelum kerja pengorekan dibuat. Tetapi siapa? Adakah juruukur yang menjalankan pe­metaan utiliti bawah tanah itu mempunyai lesen? Permit yang dikeluarkan itu kepada siapa?

Sesiapa yang didapati tidak berlesen menjalankan pe­metaan utiliti bawah tanah, boleh dikenakan hukuman di bawah Pindaan Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958 (Akta 458).

Apakah yang boleh dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkaitan dalam mencegah insiden serupa daripada berlaku pada masa depan?
Bagi mencegah insiden serupa pada masa depan, saya menyeru pihak berkepentingan termasuk Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan penyedia utiliti untuk mengambil beberapa langkah, antaranya mempertingkatkan piawaian pemetaan utiliti.

Pemetaan bawah tanah yang lengkap menggunakan Ground Penetrating Radar (GPR) dan Electromagnetic Locator (EML) perlu diwajibkan serta memastikan semua projek infrastruktur dikemas kini dengan pelan utiliti yang tepat.

Selain itu, membangunkan pangkalan data infrastruktur bawah tanah nasional dengan menubuhkan pangkalan data berpusat bagi merekod dan mengemas kini maklumat semua utiliti bawah tanah secara sistematik.

Kemudian, mengadakan latihan dan peningkatan kesedaran untuk kontraktor dan pemaju dengan menganjurkan bengkel bagi mendidik pihak industri tentang amalan pengorekan selamat dan tanggungjawab perunda­ngan berkaitan rizab paip gas.

Seterusnya, memperkukuh proses ketekunan wajar (due diligence) dengan melaksanakan prosedur operasi standard untuk pengesahan infrastruktur bawah tanah sebelum sesuatu pembinaan diluluskan.

Selain itu, Bengkel Kebangsaan Pemetaan Utiliti dan Keselamatan perlu dianjurkan dengan penyertaan pihak berkepentingan seperti Petronas Gas, Gas Malaysia, Jupem, majlis perbandaran dan pemaju bagi membincangkan amalan terbaik, pembaharuan polisi serta penggunaan teknologi terkini. Projek rintis untuk pemetaan semula saluran paip gas berisiko tinggi juga wajar dilaksanakan sebagai model terbaik dalam pengurusan dan penyelenggaraan data utiliti.

Akhir sekali, bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memperbaiki polisi dengan berusaha bersama badan pengawal seliaan untuk menguatkuasakan langkah keselamatan lebih ketat dan meminda undang-undang bagi memastikan juruukur profesional mengesahkan lokasi paip gas sebelum sebarang pemba­ngunan dimulakan.

JALAL memaklumkan, Jangka hayat paip gas kebiasaannya 30 hingga 50 tahun.

Berkemungkinan apa yang berlaku di Putra Heights di­sebabkan kesalahan daripada pihak-pihak tertentu terma­suk kontraktor. Apakah prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi bagi pihak melakukan kerja-kerja berhampiran paip gas?
Seperti Telekom Malaysia Berhad (TM) atau Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai safety passport yang diwujudkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) untuk masuk ke dalam kawasan saluran paip gas.

Dalam kes ini, adakah safety passport untuk kontraktor ma­suk ke dalam kawasan paip gas itu sebelum sebarang pembinaan atau pengorekan berlaku?

Sebelum pembinaan, mungkin kelulusan untuk buat di tanah rizab diberikan, tetapi siapakah pihak bertanggungjawab yang memantau kontraktor. Siapa safety officer di kawasan lapangan? Ini adalah salah satu proses untuk mengelakkan risiko terjadi.

Saya tekankan lagi, sebab itu pemetaan utiliti bawah tanah perlu dilakukan bagi me­ngetahui struktur di bawah tanah. Maka, jika kontraktor mengetahui lebih awal kedudukan saluran paip gas, pembinaan atau pengorekan dilakukan lebih berhati-hati.

Apa jaminan keselamatan ke­pada masyarakat yang kediaman mereka terletak berhampiran saluran gas tersebut agar insiden yang berlaku di Putra Heights dapat dielakkan pada masa depan?
Segala aktiviti pembinaan di kawasan rizab paip gas hendaklah ­dila­­ra­ng sama sekali. Jika ada keperluan juga untuk memberi kemudahan penduduk pembinaan hendaklah dipantau dan menggunakan kaedah kejurute­raan lebih selamat.

Pihak berwajib perlu melakukan penyelenggaraan berkala dan pemantauan automatik. Selain itu, pastikan protokol yang ketat semasa kerja pengorekan. Seterusnya melaksanakan pelan tindakan kecemasan atau pemindahan yang jelas kepada penduduk bagi persediaan jika situasi yang sama berulang.

Apa jaminan keselamatan ke­pada masyarakat yang kediaman mereka terletak berhampiran saluran gas tersebut agar insiden yang berlaku di Putra Heights dapat dielakkan pada masa depan?
Segala aktiviti pembinaan di kawasan rizab paip gas hendaklah ­dila­­ra­ng sama sekali. Jika ada keperluan juga untuk memberi kemudahan penduduk pembinaan hendaklah dipantau dan menggunakan kaedah kejurute­raan lebih selamat.

Pihak berwajib perlu melakukan penyelenggaraan berkala dan pemantauan automatik. Selain itu, pastikan protokol yang ketat semasa kerja pengorekan. Seterusnya melaksanakan pelan tindakan kecemasan atau pemindahan yang jelas kepada penduduk bagi persediaan jika situasi yang sama berulang.

Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada insi­den ini?
Insiden ini harus menjadi pengajaran kepada semua pihak dalam sektor pembinaan, perancangan bandar dan pengurusan infrastruktur.

Dengan memberikan ke­utamaan kepada pemetaan utiliti yang tepat dan memperkukuh langkah keselamatan, kita dapat melindungi nyawa serta menjamin keselamatan infrastruktur kritikal negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN