TAPAH – Manifesto calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan diumumkan minggu hadapan merupakan refleksi visi Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, terhadap kawasan berkenaan.
Pengerusi BN Perak dan UMNO negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, manifesto tersebut akan dimuktamadkan menerusi mesyuarat jawatankuasa induk hari ini dan ia akan dirundingkan dengan Mohamad Yusri sebelum dibentangkan oleh calon berkenaan.
“Sebagai calon yang bakal dipilih (sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri), insya-Allah, dia ada inspirasinya sendiri. ,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Jelajah AIM TVET with Cikgu Saarani di Kompleks Sukan Tapah di sini.
Pada masa sama, Saarani berkata, biarpun laporan daripada lapangan menunjukkan BN akan menang pada PRK kali ini, beliau tidak mahu pihaknya mengambil mudah cabaran pilihan raya tersebut.
“Saya cukup yakin kita akan menang, tetapi kita jangan ambil mudah kerana kemenangan hanya bergantung kepada bilangan kertas undi di dalam tong undi.
“Atas kertas ya BN mendahului, tetapi semua orang perlu balik, pergi ke tempat undi dan mengundi BN. Jangan lupa masukkan kertas undi dalam tong undi kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kira kertas undi itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE