KOTA BHARU – Keluarga pelajar tahfiz yang ditemukan maut dalam keadaan tergantung di tandas sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas dekat sini pada 2013 akan memfailkan semula kes tersebut bulan hadapan.
Mangsa, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang merupakan pelajar tingkatan empat dijumpai dalam keadaan separuh bogel dan tergantung di tandas asrama berkenaan pada 14 Disember 2013.
Wakil peguam, Lyana Marzuki berkata, pihaknya sudah mengutus surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar pada hujung bulan lalu.
Katanya, surat itu meminta supaya pihak berkuasa menyiasat semula bagi menuntut keadilan terhadap Wan Ahmad Faris. Seramai 10 peguam dari Kuala Lumpur dan Kota Bharu dilantik untuk mengumpul maklumat berkaitan kes tersebut.
“Pasukan peguam sudah menghantar surat kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara. Kita akan memfail semula kes itu pada hujung Mei ini. Langkah itu diambil selepas keluarga mangsa memfailkan saman bagi menyelesaikan kes pembunuhan tersebut dan menuntut keadilan.
“Kita ada alasan kukuh untuk menunjukkan pihak berkuasa boleh membuka kes semula. Keluarga juga mengalami kerugian dan kecuaian kerana penyiasatan yang lambat. Kami akan umumkan pihak dinamakan dalam saman sebaik sahaja semua dokumen lengkap,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini hari ini.
Sementara itu, ibu mangsa, Ruhani Hussin, 70, berkata, dia tetap memperjuangkan nasib arwah anaknya selepas Mahkamah Koroner Kota Bharu pada 2016 memutuskan kematian mangsa disebabkan dibunuh individu yang identitinya belum dikenal pasti. – KOSMO! ONLINE