PETALING JAYA – Susulan isu kesilapan bendera dipaparkan dua akhbar Cina Sin Chew Daily dan Nanyang Siang Pau, pelakon Bront Palarae meluahkan rasa kecewa sekiranya isu terbabit diselesaikan hanya dengan permohonan maaf.
Menurut pemilik nama lengkap Nasrul Suhaimin Saifuddin, 46, perkara tersebut seharusnya dipertanggungjawab kepada pihak berkaitan atas kecuaian dilakukan.
“Ini tidak boleh diterima dengan hanya menerima permohonan maaf dan teruskan hidup.
“Kesilapan tersebut mencerminkan isu kecuaian dan tidak sensitif.
“Akauntabiliti adalah penting untuk memastikan ini tidak berlaku lagi,” katanya dalam aplikasi X.
Dalam masa sama, bintang filem Malbatt: Misi Bakara itu menegaskan bahawa permasalahan tersebut akan berulang sekiranya tiada tindakan tegas.
“Mengabaikan masalah hanya akan mengekalkannya,” jelasnya.
Sebelum ini, akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily memohon maaf atas kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit dalam penerbitannya baru-baru ini.
Sin Chew dalam satu kenyataan, ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar tersebut berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.- KOSMO! ONLINE