PASIR PUTEH – Kekurangan bekalan air bersih dan ekosistem sokongan seperti kilang pemprosesan dan kemudahan membaiki kapal merupakan antara punca utama bot laut dalam (C2) tidak lagi berlabuh di Tok Bali sejak dua tahun lalu.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, situasi itu menjejaskan perkembangan sektor perikanan di kawasan berkenaan meskipun pelaburan besar telah dilakukan dalam pembinaan kemudahan pelabuhan dan kompleks nelayan.
Menurutnya, statistik menunjukkan bilangan bot laut dalam yang aktif di Tok Bali telah merosot daripada 360 kepada hanya sekitar 70 buah sahaja sejak kebelakangan ini.
“Penurunan itu mencatatkan sebanyak 80 peratus dalam tempoh dua tahun dan dikhuatiri bertambah sekira pembangunan kilang dan kemudahan air dibangunkan.
“Kita ada kompleks, kita ada nelayan, namun masalah asas seperti air bersih dan ketiadaan kilang pemprosesan hasil perikanan menyebabkan usaha untuk menarik lebih banyak bot laut dalam ke sini tidak berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM bersama nelayan Kelantan, di Penempatan Semula Nelayan Tok Bali di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Faiz memberitahu, ketiadaan subsidi minyak, tempat membaiki bot dan kesukaran mendapatkan pelabur merupakan penyumbang lain kepada pengurangan pelabuhan bot laut dalam.
“Kita pernah bertemu pelabur yang berminat membuka kilang pemprosesan ikan, namun mereka akhirnya menolak kerana masalah bekalan air bersih yang serius di kawasan ini.
“Kebanyakan bot besar kini berpindah operasi ke pelabuhan lain seperti di Endau, Johor dan Kuantan yang menawarkan kemudahan lebih baik serta sokongan industri yang lengkap,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE