GEORGE TOWN – Kegiatan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak pertengahan tahun lalu akhirnya tumpas apabila lima lelaki ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar negeri ini semalam.
Operasi yang dijalankan secara serentak di lima lokasi berbeza sekitar negeri ini antara pukul 1.30 petang hingga 2.45 petang itu turut menyaksikan polis merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai lebih RM155,000.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kelima-lima suspek yang ditahan berusia antara 33 hingga 50 tahun dan dipercayai aktif dalam aktiviti pengedaran dadah untuk pasaran tempatan.
“Lima lelaki warga tempatan yang merupakan penganggur, pengawal keselamatan, penjaga kandang kambing, pemandu e-hailing dan peniaga telah ditahan dalam operasi ini
“Pihak polis telah merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 9.73 kilogram dan syabu seberat 1.54 kilogram, dengan nilai keseluruhan RM155,010,” katanya di sini hari ini.
Menurut Hamzah, dua daripada suspek ditahan di kawasan Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah, dan hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik mengandungi 251 gram heroin serta 106 gram syabu.
“Berdasarkan maklumat awal dan hasil soal siasat, pasukan operasi kemudian dibawa ke lokasi berhampiran yang menjadi tempat penyimpanan dadah utama.
“Hasilnya, polis menemui 21 peket plastik heroin seberat 9.48 kilogram, satu paket plastik hijau mengandungi syabu seberat 1.03 kilogram, dan empat paket plastik lagi mengandungi syabu seberat 409 gram,” katanya.- KOSMO! ONLINE