fbpx

Pentadbir tanah jangan jadi boneka, undang-undang tidak boleh dipilih-pilih – Sultan Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua pentadbir tanah semua peringkat negeri ini tidak menjadi boneka yang diperalatkan sebaliknya menjadi benteng hadapan negeri.

Baginda sehubungan itu bertitah agar semua pentadbir tanah jangan sekali-kali berkompromi dalam hal yang melibatkan kedaulatan undang-undang negeri termasuk isu pencerobohan tanah

“Jangan terperdaya dengan naratif kononnya pencerobohan itu atas nama kebajikan atau perjuangan rakyat. Undang-undang tidak boleh dipilih-pilih, dikecualikan mengikut siapa yang bercakap paling lantang atau siapa yang berani menekan atau yang paling banyak menghulur.

“Pentadbir tanah sepatutnya menjadi perisai negeri ini daripada sebarang pencerobohan dan salah laku, bukan menjadi pelindung kepada perbuatan terlarang, yang dihalalkan dengan alasan retorik.

“Beta tidak akan sesekali berkompromi, jika ada yang mengkhianati amanah dengan menjadi agen pencerobohan, yang terang-terangan mencabar keluhuran undang-undang negeri ini. Amanah yang diberi, jangan sekali-kali dicemari dengan pengkhianatan,”titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, negeri ini sentiasa terbuka dan memberi laluan sepenuhnya kepada agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) untuk bertindak tegas tanpa pilih kasih.

Titah baginda tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang dan sesiapa sahaja yang didapati menyalahgunakan kuasa, bersekongkol dalam urusan yang menyalahi undang-undang khususnya melibatkan pencerobohan tanah, wajib dibawa ke muka pengadilan.

“Malah, beta tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang cuba mengganggu, menghalang atau mencabar kuasa penguatkuasa dan penjawat awam ketika menjalankan tugas,”tegas baginda.

Sultan Pahang turut menegaskan, undang-undang tidak boleh dipijak sesuka hati dan kedaulatan negeri ini tidak boleh dipersendakan.

“Beta sentiasa bersama kalian, yang berjuang mempertahankan tanah air ini daripada dijajah, diperkosa dan dinodai tanpa rasa berdosa.

“Janganlah pentadbiran kerajaan beta bersikap lesu dan longlai, jadilah mata dan telinga beta, bukan mulut yang hanya tahu menyedapkan telinga. Jadikan ‘episod hitam’ ini sebagai pengajaran dan ingatan untuk semua yang berkuasa,” titah baginda.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI