PETALING JAYA – Penceramah bebas, Ustaz Mohd. Rasyiq Mohd Alwi menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mengarahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai satu ujian.
Menerusi catatan di Facebooknya hari ini, beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq sempat berseloroh, mengatakan perlu menggunakan ‘duit tabung’ untuk membayar ganti rugi terbabit.
“Alhamdulillah untuk diri sendiri. Nak kena cari RM2.5 juta pula. Korek tabung vaksinlah jawabnya. Ok…ok nanti saya cari ya, syukur dengan ujian,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Ustaz Abu Syafiq membayar RM2.5 juta kerana memfitnah Khairy Jamaluddin, berhubung pandemik Covid-19 dan program vaksinasi kerajaan.
Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan Khairy terhadap Ustaz Abu Syafiq.
Semasa prosiding, hakim berkata, Khairy selaku plaintif layak menerima ganti rugi am berjumlah RM2 juta, iaitu masing-masing RM250,000 bagi setiap lapan kenyataan fitnah.
Menurutnya, baki RM500,000 lagi ialah ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, menjadikan jumlah keseluruhan RM2.5 juta. – KOSMO! ONLINE