fbpx

Malaysia mungkin hilang ‘lubuk emas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMPTON mencipta sensasi apabila memecahkan rekod Singapura berusia 30 tahun baru-baru ini. - KAMPTON KAM

MALAYSIA berpotensi kehilangan pingat emas lompat tinggi lelaki buat kali ketiga berturut-turut di pentas Sukan SEA menjelang edisi 2025 berlangsung di Bangkok-Chonburi-Songkhla, Thailand pada Disember depan.

Ia susulan kejayaan atlet Singapura, Kampton Kam melepasi had ketinggian 2.25 meter (m), sekali gus mencipta rekod baharu negara itu pada Kejohanan Jemputan South Florida 2025 di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini,

Atlet berusia 24 tahun yang menuntut di Universiti Pennsylvania, AS itu hanya ketinggalan 0.02m lagi untuk menyamai rekod Sukan SEA dipegang pemenang pingat emas Kemboja 2024 dari Thailand, Tawan Kaeodam.

Situasi itu seharusnya membuka mata Olahraga Malaysia (MA) yang sehingga kini masih belum menemui pengganti terbaik sejak persaraan dua jagoan negara, Lee Hup Wei pada 2022 dan Nauraj Singh Randhawa setahun kemudian.

Penguasaan Hup Wei dan Nauraj menyaksikan Malaysia tidak pernah kehilangan pingat emas acara itu dalam tujuh edisi berturut-turut dari 2005 hingga 2019.

Bagaimanapun, dominasi hebat itu berjaya dipecahkan oleh Thailand menerusi dua atletnya, Kobsit Sittichai pada edisi Vietnam 2021 dan Tawan Kaeodam di Kemboja dua tahun lalu.

Seorang lagi pencabar yang dilihat mampu menjadi calon merebut pingat emas ialah Vu Duc Anh dari Vietnam selepas dia muncul naib juara edisi terakhir dengan catatan 2.17m.

Bagi Malaysia, sandaran terbaik buat masa ini terletak di bahu Mohamad Eizlan Dahalan yang pernah memenangi pingat gangsa pada Vietnam 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI