KOTA TINGGI – Lebih enam dekad melalui jalan bergelap kini penduduk di Kampung Bukit Buloh, Pengerang di sini menikmati cahaya terang melalui pemasangan lampu limpah solar di sepanjang laluan di kampung berkenaan.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman berkata manfaat itu diterima penduduk kampung tersebut melalui Program Kampung Angkat MADANI yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.
Katanya kampung yang telah wujud sejak merdeka itu mempunyai sebanyak 350 buah rumah yang didiami kira-kira 800 penduduk.
“Hari ini penuh sejarah bagi Kampung Bukit Buloh dimana menerima projek dari kerajaan bernilai RM2.5 juta bagi membangunan infrastruktur kampung.
“Sebanyak 16 projek telah dapat laksanakan di sini dan berjaya selesai dalam tempoh enam bulan antaranya baik pulih lapan buah rumah, projek menurap jalan, projek lampu limpah solar juga pembinaan dewan terbuka.
“Sepanjang tempoh tertubuhnya kampung ini tidak ada lampu jalan, tahun ini penduduk dapat lampu solar yang dipasang disepanjang kampung. Ini juga menjadi isu keselamatan apabila sepanjang laluan masuk ke kampung ini gelap namun kini sudah cerah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada media selepas hadir Majlis Penutup Program Kampung Angkat MADANI Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di Kampung Bukit Buloh, Pengerang hari ini. – KOSMO! ONLINE