PUTRAJAYA – Draf perintah mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga produk ubat-ubatan mulai 1 Mei depan kini masih berada di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC).
Susulan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, segala butiran terperinci mengenai kaedah paparan harga dan hal berkaitan mekanisme itu akan diketahui selepas draf tersebut diluluskan.
“KKM (Kementerian Kesihatan) sendiri telah maklumkan pada 1 Mei, sekarang draf perintah tersebut berada di Jabatan Peguam Negara dan kita (masih) menanti.
“Sebaik Jabatan Peguam Negara meluluskan perintah tersebut, di dalamnya ada butiran bagaimana kaedah paparan harga dan sebagainya,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Sambutan Hari Penguat Kuasa Ke-53 KPDN di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, KKM mulai 2025 akan mewajibkan paparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta bagi meningkatkan ketelusan harga.
Armizan berkata, pihaknya juga menasihatkan pihak terlibat supaya tidak khuatir berikutan tidak akan terus mengambil tindakan pada peringkat awal penguatkuasaan.
Dalam pada itu, Armizan menjelaskan bahawa mekanisme pemaparan harga ubat itu tidak bertentangan daripada segi perundangan dan kementerian hanya bertindak melindungi kepentingan semua pihak khususnya pengguna.
“Jadi, saya harap kepada pihak yang berkenaan, kalau masih mahu ‘push agenda’ mereka, bantu saya untuk jawab kepada pengguna dan rakyat, kenapa perlu dikecualikan?
“Harga barangan lain seperti harga emas dan semua jenis barangan dipaparkan tetapi kenapa perlu ada pengecualian pula, harga ubat tidak boleh?,” soalnya. – KOSMO! ONLINE