fbpx

Bekas pengurus Petronas didakwa cuba dedah maklumat kepada Petros

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur- GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba mendedahkan dokumen sulit syarikat itu kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros) tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Khairul Akmal Mohd. Jasni, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh ketika bertugas sebagai Pengurus Prestasi, Unit Perniagaan Petronas didakwa cuba memdedahkan maklumat dokumen ‘Q1 2024 Upstream Business Performance Operational and Financial’ kepada Petros.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Pinang, Dang Wangi di sini pada pukul 3.19 hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman mencadangkan jaminan RM50,000 kerana perbuatan tertuduh merupakan kesalahan serius dan melibatkan kewangan negara.

“Kes ini mampu memberi implikasi kepada kewangan negara dan ini perlu mengira prinsip kepentingan awam dan bukan individu. Jumlah ini adalah musanabah mengambil kira maklumat sulit Petronas cuba diberikan kepada syarikat luar,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Fadhli Sutris merayu jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan sentiasa memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

“Anak guam baru melapor diri semalam di tempat kerja baharu di Sarawak setelah dibuang kerja sejak Disember lalu. Pendapatannya belum stabil dan perlu menanggung isteri serta tiga anak yang masih kecil.

“Oleh itu, saya mohon jaminan rendah sekitar RM3,000 hingga RM5,000,” kata peguam itu.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Mei ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI