KLUANG – Seorang ibu tunggal buntu memikirkan jalan bagi menanggung keluarga terutama menampung kos rawatan anak lelakinya yang diserang kanser sarcoma sejak Februari lalu.
Rafidah Manaf, 45, berkata, dia kini terpaksa memberi tumpuan sepenuhnya kepada Muhammad Adif Fadrul Syahrul, 17, yang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Katanya, keadaan itu memaksanya berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan di bandar Kluang dengan gaji bulanan RM1,700.
“Selain Adif, saya juga perlu menyediakan keperluan pembelajaran kepada seorang lagi anak perempuan yang kini berusia enam tahun.
“Semua ini terpaksa ditanggung oleh saya seorang selepas bergelar ibu tunggal sejak Ogos tahun lalu,” katanya.
Rafidah berkata, dia mahu mengeluarkan duit Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan memohon bantuan Baitulmal.
Bagaimanapun, ia memerlukan rekod perubatan daripada Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) yang menjadi tempat pertama anaknya menerima rawatan sebagai bukti.
“Keadaan kesihatan anak saya semakin tidak menentu apabila sel kanser sudah merebak ke bahagian muka, buah pinggang, paru-paru, darah dan tulang.
“Mukanya membengkak dan dia tidak boleh mengiring ke kiri atau kanan selain selalu bersujud untuk keselesaan diri.
“Ulser penuh di dalam mulutnya dan buat masa ini dia menjalani rawatan radioterapi lima kali seminggu dan kimoterapi sudah dijalankan sekali pada minggu lalu,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati dengan nasib keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 151061518156 atau datang ke alamat No 5C, Jalan Ledang, Taman Lambak, Kluang.