LENGKAP hidangan juadah rumah terbuka dan pemberian duit raya, Konsert Datuk M. N46IR Cipta Raya yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur Ahad lalu melangkaui jangkaan awal.
Bukan sebelum ini tiada persembahan berskala besar yang mengangkat seleksi bertemakan raya dan Syawal, namun tidak semeriah kemunculan maestro muzik bernama M. Nasir.
Hampir 2,000 penonton yang memenuhi gelanggang muzik popular di tengah ibu negara itu juga hadir mengikut tema. Masing-masing berbusana tradisional, yang wanita datang berkebaya, berbaju kurung siap berselendang, si lelaki pula bertengkolok bersongkok dan bersamping, saling tak ubah seperti baru hendak menyambut 1 Syawal.
Memilih lagu ciptaannya untuk Datuk Awie, Raya Yang Sempurna sebagai pemanas panggung, itu seolah-olah menjadi isyarat kesempurnaan konsert tersebut.
Momentum persembahan diteruskan dendangan asal Ramlah Ram, Hari Raya Hari Bahagia sebelum memilih Hati Emas, Raikan Cinta, Suara Takbir sebagai penaik semangat keraian raya.
Selain lagu Awie, komposer tersohor itu turut menyampaikan lagu yang pernah dibawakan Datuk Amy Search, Sentuhan Di Hari Raya serta nyanyian Datuk Hattan, Lebaran Bonda buat santapan tamunya.
Bagai diluahkan sebelum konsert, seleksi pilihan pada malam tersebut tidak terhad kepada lagu raya, bahkan turut diselitkan adalah dendangan hitya seperti Raikan Cinta, Suatu Masa, Sahabat Gua dan Apokalips.

Untuk khalayak yang barangkali bukan pengikut konsert M. Nasir, jangan terkejut jika terlihat ada susuk pengunjung konsert legenda itu terdiri daripada anak muda.
Seperkara lagi, biarpun katalog karya ciptaan dan nyanyiannya cukup panjang, M. Nasir tetap tidak menyanyikan tiga lagu klasik popular sebagai penghargaan buat legenda yang sudah pergi.
Tiga pilihan yang disifatkan antara 10 lagu raya terbaik tersebut adalah Suara Takbir nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Selamat Hari Raya (Allahyarham Puan Sri Saloma) dan lagu milik penyanyi Indonesia, Allahyarham Oslan Husein, Selamat Hari Lebaran.
“Saya ingin memberi ‘homage’ kepada pencipta lagu yang saya sanjungi seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee,” katanya sebelum menyampaikan bingkisan kegemarannya.

M. Nasir turut memberi duit raya berbeza jumlah sama ada RM5, RM10 atau RM50 kepada pembeli tiket konsert Cipta Rayanya.
M. Nasir ‘rosak’
Sepanjang lebih dua jam M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed Sam, 67, tidak berceloteh panjang.
Tetapi dalam setiap patah bicara diselitkan cerita di sebalik pembikinan hampir semua naskhah yang disampaikan sekali gus membolehkan penonton mengetahui sejarah lagu terbabit.
Ini antara perkara yang harus dipelajari penyanyi pelapis ketika beraksi di pentas mega, bukan membuang masa berulang kali bertanya khabar penonton.
Bijak membuai emosi antara lagu raya syahdu serta irama rancak, penggiat muzik dihormati ramai itu juga memancing tawa ramai dengan jenaka bersahaja.
Malah ketika berpadu suara dengan seorang peminat wanita mendendangkan lagu Halaman Asmara, M. Nasir yang sinonim dengan gelaran sifu sempat mengajuk gelagat Awie.
Tidak hairan ada dalam kalangan penonton berseloroh menggelarkan M. Nasir sudah ‘rosak’ memandangkan tidak lagi serius seperti dahulu.
Seperkara lagi, sebenarnya agak ‘comel’ saat figura dengan lagu-lagu berlirik ‘deep’ itu mendendangkan material ‘simple’ dengan sekadar larik-larik kata ‘esok hari raya’ berulang-ulang dan berwatak ceria seperti anak kecil girang tak sabar beraya.
M. Nasir membawa rasa itu. beliau menyegarkan semangat raya yang mungkin semakin hilang dalam jiwa segelintir kita.
Apa pun, sepanjang lebih dua jam Konsert Datuk M. N46IR Cipta Raya digarap sempurna bahkan seperti dizahirkan pada awal tirai dibuka, konsert seumpama itu dapat direalisasikan setiap tahun.
