fbpx

36 pasukan berentap Super School Rugby 15s

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHRIZIN Shahrudin (kiri) ketika upacara cabutan undi pertandingan itu di Audiotorium MBSA, Shah Alam hari ini. - FOTO: SADDAM YUSOFF

SHAH ALAM – Sebanyak 36 buah pasukan mengambil bahagian pada Kejohanan Super School Rugby 15s kali ke-10 yang akan berlangsung bulan depan.

Penganjur Super School Rugby 15s, Shahrizin Shahrudin berkata, 24 pasukan berentap dalam kategori Super School Rugby,manakala 12 lagi bersaing kategori Super School Rugby Academy.

“Pertandingan kali ini menerima penyertaan pasukan paling banyak sepanjang sepuluh tahun penganjuran.

“Sebenarnya banyak lagi pasukan yang hendak sertai pertandingan ini. Pihak penganjur terpaksa tapis kerana kami tidak boleh anjur pertandingan ini terlalu lama,” katanya pada majlis cabutan undi Super School Rugby 15s di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Menurutnya, format pertandingan tahun ini dikekalkan seperti tahun sebelumnya yang mana kesemua pasukan akan berentap dalam peringkat kumpulan sebelum melangkah ke peringkat kalah mati.

Ujar Shahrizin, beberapa pasukan baharu menyertai Super School Rugby 15s dijangka memberikan saingan sengit kepada pasukan yang sudah lama menyertai pertandingan tersebut.

KESEMUA kapten pasukan yang mengambil bahagian pada pertandingan kali ini bergambar di Auditorium MBSA, Shah Alam hari ini – FOTO: SADDAM YUSOFF

“Apa yang penting adalah melahirkan pemain muda dalam sukan ragbi. Kami harap pemain ini tidak berhenti main selepas mereka sambung belajar di menara gading.

“Kami bercadang untuk menganjurkan pertandingan ini di peringkat pengajian tinggi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor yang juga bertahan Super School Rugby 15s, Mohd. Hafizul Saiful Anuar berkata, mereka akan cuba mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada tahun lalu.

Menurutnya, lebih 80 peratus pemain baharu akan menganggotai pasukannya membuatkan dia perlu membentuk pasukan baharu.

“Ini adalah satu pendedahan baik kepada pemain ini untuk bermain dalam peringkat kompetitif. Apa yang penting, kami mahu sentiasa lahirkan pemain baharu supaya sukan ragbi ini popular di negara ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI