JAKARTA – Satu klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan detik tetamu sebuah majlis tahlil di wilayah Jawa Timur menerima kipas angin sebagai cenderahati, lapor portal berita Detik.
Kejadian berlaku di daerah Deket, Lamongan semalam.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @iskandarrasyid25 menunjukkan tetamu sedang duduk di atas tikar sambil menunggu untuk menjamu selera.
Lebih menarik, setiap tetamu dihadiahkan sebuah kipas angin yang diletakkan di sebelah mereka.
Penganjur majlis yang dikenali sebagai Fitroni berkata, acara itu diadakan sempena memperingati pemergian bapa kepada seorang penduduk bernama Hafidzin.
“Hafidzin kini menetap di Gresik. Majlis tahlil itu diadakan untuk bapanya yang telah meninggal dunia 100 hari yang lalu,” tambah Fitroni.