fbpx

Sokongan kaunseling diteruskan bantu murid hadapi trauma – KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainal pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan kewangan KPM kepada mangsa terjejas di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, di sini hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

SUBANG JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan intervensi kaunseling dan sokongan psikososial secara berterusan kepada murid-murid dan guru yang terkesan dalam insiden letupan paip gas di Putra Heights di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abbas berkata, dua pasukan khas iaitu ‘School Support Team’ dan ‘Academic Support Team’ telah digerakkan ke lokasi sejak awal bagi memberi bantuan emosi serta memastikan kesinambungan akademik murid tidak terjejas.

“Kita faham insiden sebegini bukan trauma sementara. Ia memerlukan sentuhan berterusan daripada guru bimbingan dan kaunseling untuk memastikan murid-murid ini dapat kembali stabil secara emosi dan mental.

“Mereka juga diberi ruang untuk meluahkan perasaan melalui aktiviti yang disusun khas sepanjang berada di pusat pemindahan sementara,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan kewangan kepada mangsa terjejas di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, di sini hari ini.

Penyerahan bantuan berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melibatkan 128 murid dan lima guru dari 37 buah sekolah.

Menurut Zainal, sokongan kaunseling dan psikososial akan diteruskan sepanjang tempoh pemulihan ekoran terdapat murid yang masih terkesan.

“Kanak-kanak ini mungkin kelihatan tenang di luar, tetapi dalaman mereka menyimpan kebimbangan terhadap keluarga dan keselamatan rumah.

“Guru-guru kaunseling memainkan peranan penting dalam memastikan mereka tidak terabai secara emosi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI