GEORGE TOWN – Polis mengesahkan pesta Songkran terlampau anjuran pihak swasta di pantai Batu Ferringhi di sini hujung minggu lalu tidak mempunyai permit.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Mohamad berkata, tiada sebarang permohonan lesen hiburan awam sementara yang dimohon untuk penganjuran acara berkenaan.
“Bahagian pelesenan pun tidak terima permohonan atau tapisan dan tiada apa-apa permit dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial sekumpulan wanita menari dalam keadaan separuh bogel di atas pentas sempena pesta Songkran di Batu Ferringhi.
Menerusi video yang dimuat naik di platform Facebook, sekumpulan wanita dilihat menari dengan pakaian menjolok mata di atas pentas utama sambil diperhatikan ratusan pengunjung yang hadir ke acara tersebut. -KOSMO! ONLINE