KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh mencadangkan setiap haiwan ternakan terutama lembu yang terlepas berkeliaran di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) dilucut hak sekaligus dirampas pihak berkuasa bagi memberi pengajaran kepada pemiliknya.
Beliau berkata, ia bagi mengurangkan risiko kemalangan disebabkan haiwan ternakan berkeliaran di lebuh raya berkenaan.
“Isu haiwan ternakan berkeliaran sudah lama berlarutan bagai tiada kesudahan walaupun pengendali LPT 2 sentiasa membuat penambahbaikan dan memantau pagar keselamatan.
“Baru-baru ini, orang kampung saya (Kuala Berang) meninggal dunia dan seorang lagi cacat kekal akibat terlanggar sekumpulan lembu di LPT 2,” katanya pada sesi perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mamad mencadangkan kerajaan negeri Terengganu meminda enakmen bagi membolehkan setiap haiwan ternakan yang memasuki kawasan lebuh raya itu dirampas.
Beliau (Pas-Kuala Berang) berkata, enakmen itu kelak membolehkan haiwan ternakan memasuki LPT 2 terbabit dilucut hak dan dianggap tiada pemilik.
“Nampak keras tetapi sesuai memberi pengajaran kepada pemilik (haiwan ternakan) yang ambil mudah. Jika tidak denda yang tinggi perlu dikenakan terhadap pemilik ternakan terbabit kerana tidakan membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran itu meningkatkan risiko kemalangan maut,” katanya. – KOSMO! ONLINE